Saturday, 10 March 2012

Petikan Ringkas Dari Akhbar Berita Harian Singapura

12 Nov 2011
SINGAPURA
SKIM VGMC
Penggerak tolak ada unsur cepat kaya, tipu
Oleh
Saini Salleh

SKIM Virgin Gold Mining Corporation (VGMC) bukan skim pelaburan, cepat kaya, Ponzi atau penipuan, menurut pengasas pemilikan saham VGMC di Singapura, Haji Abdul Rahim Abdul Jalil.
Beliau juga berkata VGMC tiada ejen atau firma setempat yang memegang atau menguruskan wang pembelian sahamnya atau penyaluran dividen kerana semuanya dijalankan di laman Internetnya dan wang keluar masuk menerusi akaun bank terkemuka setempat.
Menurutnya lagi, VGMC, yang berstatus luar pesisir (offshore) dan berdaftar di Panama, Amerika Tengah, sedang menawarkan sahamnya di peringkat global.
Ia mahu mengumpul AS$3 bilion ($3.8 bilion) dengan AS$5 bilion sebagai modal kerja sebelum memohon disenaraikan di Bursa Saham New York pada 2015, ujar mereka.
Haji Rahim, 45 tahun, berkata demikian ketika mengulas laporan Berita Harian mengenai skim itu pada 5 November lalu, yang beliau sifatkan ‘faktanya 80 peratus tidak tepat’.
Beliau ditemui kelmarin di pejabat sebuah firma di Joo Chiat Complex, tempat pemilik saham sering bertemu, terutama bagi sesi penerangan bagi bakal pemegang saham.
‘Jika ini skim penipuan bawa kepada kami dan tunjukkan bukti akaun. Apa yang selama ini kita dengar dan dibincang di blog-blog Internet ialah andaian dan prasangka semata-mata.
‘Kami hanya ingin jelaskan VGMC bukan skim pelaburan tetapi skim pemilikan saham VGMC. Tiada dalang yang mempromosi skim ini. Kami menarik bakal pemegang saham baru secara sendiri-sendiri dan tiada sebarang paksaan.
‘Memang seperti biasa dalam dunia perniagaan, risiko adalah lumrah. Ini saya tak nafikan. Tetapi, kebanyakan pemilik saham telah balik modal hasil dividen yang diterima setiap bulan dan mereka akan terus menikmati dividen selagi mereka masih memegang saham VGMC,’ ujar Haji Rahim, yang mendakwa pernah menjadi pedagang tukaran asing (forex) sekitar 20 tahun dan rugi lebih $1 juta.
Pertemuan dengan Berita Harian turut dihadiri sekitar 10 pemegang saham VGMC.
Namun, Haji Rahim akur skim itu ada risikonya, sesuatu yang menjadi keperihatinan ramai dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS), yang meletaknya dalam Senarai Amaran Pelabur.
‘Bagi saya, masyarakat Melayu masih di takuk lama. Saya faham keperihatinan Berita Harian. Tetapi masyarakat Melayu kita di sini masih rendah dari segi ekonomi dan pengetahun kewangan,’ katanya.
Haji Rahim menambah bukan tujuan beliau mempromosi VGMC agar masyarakat Melayu menjadi kaya menerusinya, ‘tetapi alhamdulillah skim ini dapat menambah pendapatan dan menjadikan kehidupan lebih baik’.
‘MAS mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati kerana VGMC telah dimasukkan dalam senarai syarikat yang perlu diwaspadai pelabur. Tetapi MAS tak kata VGMC satu skim penipuan.
‘Ramai tak faham VGMC berstatus luar pantai jadi perniagaan yang dijalankannya tidak dikenakan sebarang cukai dan tidak tertakluk pada undang-undang Singapura,’ kata beliau.