Saturday, 10 March 2012

Guru pesara raih $13,000 setiap bulan

31 Dis 2011
… SINGAPURA
GURU pesara, Dr Hadi Sam’on, tidak perlu bekerja keras – hanya melihat akaun banknya yang terus meningkat AS$10,000 (S$13,000) setiap bulan.
Wang yang terus menggunung itu diraihnya sejak lima bulan lalu dan akan terus dinikmatinya pada bulan-bulan mendatang.
Malah, bulan lalu, ayah lima anak itu meraih durian runtuh selepuk apabila AS$23,000 datang bergolek.
Jumlah itu merupakan dividen daripada 20,000 saham Virgin Gold Mining Corporation (VGMC) yang dipegangnya dan komisen kerana menarik sekitar 100 pemegang saham baru.
Tetapi, Dr Hadi, 69 tahun, mengingatkan skim pemilikan saham VGMC berstatus luar persisir (Offshore) yang berpengkalan di Panama, Amerika Tengah, cukup tinggi risikonya.
‘Dalam dunia perniagaan dan bidang yang kita ceburi, kita mesti berani mengambil risiko. Sifat ini kurang dalam jiwa masyarakat kita. Kita perlu ubah minda kita kalau nak berjaya!’ tambahnya.
Seorang lagi pemegang saham yang juga pemilik Jauhari Trading, Cik Amy Miah Kamal, 40 tahun, berkata beliau sendiri tidak yakin sama ada saham VGMC sebanyak 10,000 yang dimilikinya itu boleh memberi pulangan atau kemungkinan hangus.
‘Saya mulanya curiga kerana dah dengar macam- macam skim cepat kaya seperti Farwill dan pelaburan burung unta Fi & Fa yang akhirnya lingkup.
‘Tetapi, selepas lapan bulan memegang saham VGMC, saya beritahu ketua kumpulan saya hasrat saya mengambil dividen. Saya hampir tak percaya kerana bila pergi ke bank, saya dah boleh keluarkan dividen tiap bulan,’ cerita beliau.
Sejak itu, Cik Amy Miah terus mempromosi skim VGMC itu dan sejauh ini menarik lebih 200 peserta.
Kededua mereka diundang menghadiri jamuan malam penuh gah di Marina Bay Sands baru-baru ini.
Di majlis itu, mereka dan lagi 280 pemegang saham diberi hadiah berupa emas seberat 1.935 ouns seorang.
Dr Hadi dan Cik Amy Miah juga dipilih menyertai seminar VGMC empat hari di Bali berakhir Isnin lalu.
Menurut Cik Amy Miah, sekitar 2,000 rakyat Singapura menyertai skim VGMC dengan lebih 80 peratus adalah pelabur Melayu.
‘Mereka semua dah raih untung dan ramai yang dah balik modal tetapi terus menerima dividen selagi mereka memegang saham VGMC.
‘Macam mana orang masih meragukan kesahihan skim ini. Kami semua pemegang saham dan bukannya melabur dalam skim cepat kaya,’ tambahnya.